Uber Menguji Bayaran Tunai Di Johor Bahru

Servis perkongsian kenderaan popular Uber, kini sedang menguji untuk menerima bayaran tunai di Johor Bahru. Selama ini, Uber hanya beroperasi tanpa tunai, dengan mengecas bayaran perjalanan secara automatik terus ke kad kredit/debit. Adakah ini langkah yang bijak?
Perkara yang menjadikan sistem Uber kelihatan menarik, adalah kemudahan naik dan turun pengangkutan. Tak perlu risaukan wang tunai, apatah lagi wang kecil untuk membayar. Hanya panggil, naik dan turun tanpa perlu membayar kepada pemandu.
Tetapi masih ramai yang tidak memiliki kemudahan kad kredit/debit. Ini mengurangkan capaian kepada penumpang yang berpotensi. Kerana itu, Uber kini mahu menguji pembayaran tunai. Ia sama seperti di Grab, yang bermula dengan sistem pembayaran tunai sahaja, tetapi kini mula menerima pembayaran kad.


Johor Bahru dipilih sebagai bandar pertama ujian pembayaran tunai ini. Jika berjaya, ia pasti akan dilaksanakan di bandar-bandar lain di Malaysia.
Tetapi pembayaran tunai dilihat, mengembalikan sistem pengangkutan ke belakang. Terutama sekali keperluan menyediakan wang kecil, tidak kira penumpang ataupun pemandu. Malah, satu risiko pula apabila pemandu perlu membawa lebih wang tunai.
Sebenarnya, penggunaan kad sebagai bayaran bukan lagi satu kesuakaran. Kebanyakan bank telahpun mengeluarkan kad ATM, yang bertindak sebagai kad debit juga. Kad sebegini boleh digunakan untuk sebarang bentuk pembayaran elektronik.
Sistem bayaran tunai Uber di Johor Bahru akan dilaksanakan secara berperingkat. Pengguna akan dapat melihat pilihan bayaran tunai dalam masa beberapa minggu lagi. Untuk membayar dengan tunai, pastikan CASH dipilih sebelum memanggil kenderaan Uber. Apabila pemanduan Uber berakhir, bayar sahaja jumlah yang terpapar.

0 comment... add one now