MyTeksi Kini Dikenali Grab, 3 Ciri Baru App Yang Anda Perlu Tahu


MyTeksi Sdn Bhd menjenamakan semula aplikasi MyTeksi kepada Grab selaras dengan peluasan operasi aplikasi tersebut di serata Asia Tenggara.
Serentak itu, logo dan aplikasi baru diperkenalkan dengan harapan menggabungkan pelbagai perkhidmatan mereka kepada satu entiti saja. MyTeksi mempunyai kehadiran di Malaysia, Vietnam, Thailand, Indonesia dan Filipina.
Bukan lagi sekadar aplikasi menempah teksi, ia mempunyai perkhidmatan lain seperti menempah atau berkongsi kenderaan, motosikal atau menyewa lori mengikut negara tertentu.
Bemula hari ini (selepas 5 petang waktu Malaysia), aplikasi baru yang hanya dikenali sebagai Grab akan diperkenalkan di Malaysia.
CEO dan pengasas bersamanya, Anthony Tan memaklumkan, jenama tersebut sudah melangkaui sekadar Malaysia saja jadi penjenamaan semula perlu dilakukan.
“Dalam beberapa tahun ini sejak MyTeksi ditubuhkan, banyak perubahan besar berlaku dan kami perlu lebih global,” katanya.

Serentak dengan aplikasi baru itu, Grab mempunyai ciri baru seperti Flash, GrabPay dan GrabWork.
Flash mempamerkan semua jenis kenderaan yang ada termasuk teksi atau kereta persendirian yang berdekatan dengan anda. Hanya klik pada Flash dan tidak kira teksi atau kereta akan mengambil anda berlandaskan siapa cepat dia dapat.
GrabPay pula membolehkan anda memasukkan lebih dari satu kad kredit, atau pilihan membayar tunai atau menggunkan kad kredit orang lain yang telah disahkan untuk menempah teksi atau kereta persendirian.
GrabWork pula membolehkan pengguna mengakses resit berdasarkan tetapan pada aplikasi yang menunjukkan perjalanan anda bertujuan untuk kerja. Kemudiannya anda boleh membuka resit-resit tersebut secara terperinci dan kemudiannya menghantarnya ke bahagian kewangan syarikat anda sekiranya mahu membuat tuntutan.

0 comment... add one now