Berkongsi Grab Lebih Murah Dan Menguntungkan

Grab Malaysia hari ini melancarkan servis terbaru yang dipanggil Grab Share. Servis ini dikatakan boleh mengurangkan tambang penumpang, sambil meningkatkan pendapatan pemandu.
Seperti namanya, ia adalah servis Grab yang dikongsi. Bagaimana caranya? Anda boleh memesan Grab seperti biasa. Kemudian di tengah perjalanan, pemandu akam mengambil penumpang lain dan berkongsi kenderaan dengan anda. Seterusnya, pemandu akan menghantar anda & penumpang lain tadi, ke destinasi masing-masing.

Dua contoh situasi penggunaan GrabShare  

Bunyinya seperti agak sukar, tetapi Grab menjamin sistem GrabShare boleh memilih penumpang yang berbeza, tetapi memiliki perjalanan yang hampir sama untuk berkongsi kenderaan.
Dengan ini, penumpang boleh menikmati sehingga 30% diskaun dari tambang biasa Grab. Manakala pemandu boleh melengkapkan dua permintaan dalam satu perjalanan. Memang menguntungkan kedua belah pihak, kan?



Sebelum itu, jom kenali servis GrabShare dengan lebih mendalam. Pertama, GrabShare hanya boleh dinaiki anda, bersama seorang rakan sahaja. Ini untuk memberi ruang kepada penumpang lain, yang juga boleh membawa seorang lagi rakannya.
Kedua, sepanjang perjalanan yang sama, hanya dua perhentian sahaja boleh dibuat iaitu untuk anda, dan penumpang lain.
Ketiga, kadar tol tidak termasuk dalam kiraan tambang, dan perlu dibayar oleh penumpang yang berada di dalam kenderaan semasa melalui tol sahaja.


Grab Malaysia turut menjamin keselamatan penumpang, melalui perlindungan Insuran Kemalangan Diri Berkumpulan, jika berlaku kemalangan. Pemandu dan penumpang akan dilindungi sehingga USD10,000 (~RM44,570) setiap seorang di Malaysia.
Grab telah menguji sistem GrabShare di Singapura, sejak Disember tahun lepas, Lebih 2 juta permintaan GrabShare berjaya dilengkapkan dalam masa dua bulan. Malah, jumlah penumpang baru kian bertambah. Secara purata, pendapatan pemandu juga meningkat sekitar 10%. Ini menambah keyakinan Grab untuk memperkenalkannya di Malaysia.
Untuk mula menggunakan Grab, seperti biasa muat turun aplikasi Grab di Apple Appstore atau Google Playstore, daftar masuk, kemudian pilih GrabShare. Jangan tersilap tekan dengan Grab biasa pula. Maklumat lanjut boleh dirujuk di laman web GrabShare Malaysia.

0 comment... add one now